Ibrah Surah Al-Mukminun : Solat Penentu Kejayaan

   Daurah Ulum Syariah yang telah saya sertai pada cuti musim panas 1439H baru-baru ini, kami telah melalui tafsir dan tadabbur Surah Al-Mukminun. Daurah ini sebenarnya adalah kursus intensif pengenalan ilmu-ilmu syariah yang merangkumi ilmu aqidah, AL-Quran, Hadis, Fiqh dan Usul Fiqh, Sirah dan Bahasa Arab. Selain itu, daurah ini juga mempunyai beberapa nadwah yang menyentuh isu-isu berkaitan dengan pengajian Islam dan beberapa isu dalam umat Islam secara amnya.

   Mengambil semangat dan seruan Dr. Yusuf al-Qardhawi, dalam satu status di page FB beliau,

“Zakat bagi harta adalah infaq, maka zakat bagi ilmu adalah menyebarkan dan mengajarkannya”,

   Maka, dengan upaya dan kemampuan yang saya ada, saya akan berkongsi beberapa dapatan yang telah saya perolehi sepanjang Daurah Ulum Syariah di Turki, bermula dengan Tadabbur Surah Al-Mukminun, insha-Allah.

 

Pengenalan Surah Al- Mukminun

   Surah Al-Mukminun ialah surah ke 23 selepas surah al-Hajj dan sebelum surah al-Nur menurut turutan mushaf. Surah ke 74 turun pada Nabi (hujung Makkiah ; selepas 73 surah yang pelbagai uslub dan penekanan menghuraikan mesej surah al-Fatihah) dan mengandungi 118 ayat dan 8 halaman mushaf. Apabila kita menyebut surah Makkiyyah, umumnya ciri-ciri ayat atau surah Makkiyah ini adalah banyak berbentuk kepada nasihat, menekankan kepada akhlak dan pekerti yang baik serta mengingatkan kepada akhirat dan balasan baik syurga dan balasan jahat neraka. Maka, tema surah Al-Mukminun adalah berkisar di daerah itu.

   Antara kaedah tadabbur, untuk membantu kita mentadabbur dan menghayati Al-Quran, ialah hubung kait antara ayat terakhir surah sebelumnya. Misalnya, surah sebelum Surah Al-Mukminun ialah Surah Al-Hajj. Maksud atau mesej surah Al-Hajj tentang iman menerusi latihan ibadah Haji, dan Surah Al-Mukminun menceritakan keuntungan  dan kejayaan kepada mereka yang beriman pada Allah dan Hari Akhirat dan kerugian orang-orang kafir yang mendustakan kewujudan Hari Akhirat.

Tadabbur Ayat 1-11

   Pada 11 ayat pertama ini, Allah Taala memulakan surah ini dengan menyebut orang beriman akan berjaya serta menyebut ciri-ciri mereka ini.

 

Dalam ayat ini, ciri-ciri yang Allah telah sebutkan ialah :

  1. Khusyuk dalam solat
  2. Menjauhi perkara yang lagha
  3. Mengeluarkan Zakat
  4. Menjaga kemaluan daripada zina
  5. Menjaga amanah dan janji
  6. Memelihara dan menjaga solat.

   Secara ringkas, inilah ciri-ciri yang Allah Taala telah berikan dan gariskan menerusi 11 ayat pertama Surah Al-Mukminun. Jikalau kita perhatikan dalam ciri-ciri yang telah disebutkan, seperti ada pengulangan point, iaitulah point berkenaan solat. Apakah hikmah di sebalik pengulangan point itu?

   Secara zahir, kita akan melihat bahawa point yang pertama dan yang keenam seolah-olah sama. Maha Suci Allah, Allah sesekali tidak membuat dan menjadikan sesuatu perkara, melainkan dengan hikmah dan mempunyai tujuan.

   Guru kami dalam subjek ini, Dr. Tafsir Hafizahullah mengatakan :

إذا بدأت الآيات بأمر وختمت بنفس الأمر كان ما بينهما شرح وبيان له

“Apabila sesuatu kumpulan ayat itu bermula dengan satu perkara dan hal, kemudian diakhiri dengan perkara dan hal yang sama, maka di antara kedua ayat itu adalah syarah dan penerangan kepadanya.”

Kumpulan ayat ini, isi utamanya adalah solat. Dan di antara ayat pertama dan terakhir ini membicarakan tentang isi utama iaitulah solat. Maka, ayat-ayat yang terletak di antara ini membicarakan tentang kesan-kesan solat dalam kehidupan orang-orang yang beriman. Apakah kesan-kesan solat itu? Menjauhi perkara lagha, mengeluarkan zakat, menjaga kemaluan dan menjadi orang yang amanah dan menepati janji.

Seumur hayat kita, yang kita telah lakukan solat 5 kali sehari semalam, apakah solat kita telah memberi kesan-kesan ini kepada kita? Apakah kita sudah menjauhi perkara yang melalaikan? Apakah kita telah menjadi orang yang amanah? Jikalau masih belum, sama-sama kita koreksi, apakah yang kurang dari solat kita?

Allah Taala mendahului ayat ini dengan khusyuk (في صلاتهم خاشعون ). Kemudian, pada ayat yang kedua tentang solat, Allah Taala mengakhiri dengan amal tubuh badan dan perbuatan (على صلواتهم يحافظون). Dari sini, kita boleh fahami bahawa untuk melayakkan diri kita mendapat kesan-kesan solat itu ialah bermula dengan kehadiran hati. Pertama dan utamanya ialah soal kehadiran hati dalam ibadah. Kemudian, barulah disusuli dengan amalan perbuatan dan tulang empat kerat.

Hari ini, dalam mendidik anak misalnya dalam mengerjakan solat, kita sering menumpukan tentang gerakan solat, sah dan hukum solat, sehingga kita terlupa, untuk menanam tauhid dahulu dalam hati anak-anak kita. Ajari mereka tentang Tuhan, ajari mereka tentang solat adalah untuk Tuhan, bukan untuk mak ayah. Ajari dan didik mereke dengan tauhid dan aqidah terlebih dahulu sebelum kita terus mengajar mereka tentang solat.

Hari ini juga, setiap kali tibanya Ramadan, sering kali kita bertelagah dan berbalah, manakah yang lebih sunnah dan rajih, solat terawih 8 atau 20. Kita berbalah mahu tunjuk fizikal solat manakah yang lebih mengikuti Nabi SAW, namun kita lupa bahawa bagaimana khusyuknya Nabi SAW dalam solat baginda. Kita baca hadis Nabi SAW, lamanya Nabi berqiam dan rukuk, khusyuk dalam solat baginda.

Kerana itulah, Imam Al-Ghazali menyarankan kepada kita untuk berada lebih awal di masjid sebelum masuknya waktu solat. Untuk apa? Untuk menyediakan kehadiran hati. Bagaimana mungkin hati itu akan hadir dalam solat jika kita tergopoh gapah mengambil wudhuk, menyucikan diri dan terus masuk ke dalam saf untuk solat? Namun dengan datang ke masjid lebih awal, kita menjawab panggilan azan, solat sunat qabliyyah, berdoa, itu semua adalah persiapan untuk menghadirkan hati kita.

Penutup

Jelas sekali, seutama-utama amal yang perlu kita jaga dan perbaiki adalah solat. Meminjam kata pujangga,

“Jikalau kau ingin ubah hidupmu dan memulakan hidup yang baru, maka mulailah dari solatmu.”

Solatlah kunci kepada kejayaan kita di dunia dan di akhirat. Betapa istimewanya ibadah solat ini, sehinggakan perintah solat diberikan kepada Nabi SAW melalui peristiwa Isra’ wa Mi’raj. Maka, sama-samalah kita menjaga rukun agama yang penting ini. Solatlah. Dengan solat, kita akan menjemput kejayaan dan pertolongan.

Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan  dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar. (2:153)

Mengakhiri kalam, marilah kita merenungi hadis Nabi SAW :

وَعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ – رَضِيَ اللهُ عَنْهُ – ، قَالَ : قاَلَ رَسُولُ اللهِ – صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – : (( إنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ العَبْدُ يَوْمَ القِيَامَةِ مِنْ عَمَلِهِ صَلاَتُهُ ، فَإنْ صَلُحَتْ ، فَقَدْ أفْلَحَ وأَنْجَحَ ، وَإنْ فَسَدَتْ ، فَقَدْ خَابَ وَخَسِرَ ، فَإِنِ انْتَقَصَ مِنْ فَرِيضَتِهِ شَيْءٌ ، قَالَ الرَّبُ – عَزَّ وَجَلَّ – : اُنْظُرُوا هَلْ لِعَبْدِي مِنْ تَطَوُّعٍ ، فَيُكَمَّلُ مِنْهَا مَا انْتَقَصَ مِنَ الفَرِيضَةِ ؟ ثُمَّ تَكُونُ سَائِرُ أعْمَالِهِ عَلَى هَذَا )) رَوَاهُ التِّرمِذِيُّ ، وَقَالَ : (( حَدِيثٌ حَسَنٌ ))

Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu berkata, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Sesungguhnya amal yang pertama kali dihisab pada seorang hamba pada hari kiamat adalah shalatnya. Maka, jika shalatnya baik, sungguh ia telah beruntung dan berhasil. Dan jika shalatnya rusak, sungguh ia telah gagal dan rugi. Jika berkurang sedikit dari shalat wajibnya, maka Allah Ta’ala berfirman, ‘Lihatlah apakah hamba-Ku memiliki shalat sunnah.’ Maka disempurnakanlah apa yang kurang dari shalat wajibnya. Kemudian begitu pula dengan seluruh amalnya.” (HR. Tirmidzi, ia mengatakan hadits tersebut hasan.) [HR. Tirmidzi, no. 413 dan An-Nasa’i, no. 466. Al-Hafizh Abu Thahir mengatakan bahwa hadits ini shahih.]

 

Tuhan, jadikanlah kami dan keturunan kami orang-orang yang mendirikan solat. Ameen!

Muhammad Abdul Aziz
Madinah Al-Munawwarah
25 Zulhijah 1439H | 5 September 2018

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top