Madinah & Turki : Saksi Kasih Ayah

31 Ogos 2018, selain daripada tarikh kemerdekaan dan juga sambutan kemerdekaan di bawah Malaysia yang baru, juga hari terakhir sebelum cukai SST 10% dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Harapan, adalah tarikh saya sampai di Madinah, untuk memulakan pengajian semester 2 di Universiti Islam Madinah.

Cuti musim panas selama 2 bulan setengah, saya manfaatkan dengan menyertai Daurah (Kursus) Ulum Syariah di Turki, anjuran bersama Akademi As-Syareef dan Rabitah Ulama’ Ahlul Sunnah Caw. Malaysia selama 2 bulan, dengan rezeki dan kurniaan dari Allah Taala.

Setiap kali saya menjejaki kaki ke Masjid Nabawi, atau Masjidil Haram untuk mengerjakan umrah, doa dan ingatan saya kepada ahli keluarga sentiasa hadir dan ada. Tambah-tambah, walaupun pengajian di Madinah ini percuma dan ditanggung oleh kerajaan Arab Saudi, namun urusan seperti visa memerlukan belanja yang banyak. Begitu juga sebelum mendapat duit poket ketika sampai di sini, duit belanja sendiri perlu dikeluarkan terlebih dahulu.

Soal belajar, ayah tak pernah berkira. Boleh kata, apa yang anak-anak mahu kebaikan, selagi mana tidak bertentangan dengan prinsip ayah, ayah akan bantu dan bagi bantuan.

Peristiwa yang saya tak akan lupa, ketika beberapa hari sebelum terbang ke Madinah, saya tak punya wang belanja sendiri yang banyak. Untuk selamat, rakan-rakan yang sampai dahulu di Madinah kata, sediakan RM2K. Di bank saya ketika itu, hanya ada RM800, baki dari simpanan sewaktu saya belajar di UiTM.

Mak Tanya kepada saya :

“Duit untuk ke Madinah dah ada ke bejih?”

“Adalah sikit. Nanti bejih carilah duit sikit RM1K.”

Mak hulurkan sekeping sampul kepada saya.

“Ni, ayah bagi duit. RM6K. Semalam ayah bagi dekat mak, suruh bagi dekat bejih.”

Terkejut saya bukan main waktu itu. RM6K! Banyaknya!

“Ayah kita bukan macam orang lain. Dia tak banyak cakap, dia tak tunjuk sayang dengan kata-kata, tapi di belakang kita, dia bangga dengan kita. Dia bangga dengan bejih sebab dapat belajar di Madinah. Dia cerita dekat kawan-kawan dia.”

Air mata saya mula bergenang.

“Ingat, setiap kali bejih rasa tak semangat nak belajar, rasa malas, ingatlah perit susah mak ayah cari duit nak sokong bejih belajar. Mak tak kisah keluar duit banyak untuk anak-anak, sebab anak-anak maklah harta yang tak ternilai, tak boleh diganti dengan duit.”

“Terima kasih mak, ayah!” Saya memeluk mak erat. Sayu.

Dengan duit itulah, saya gunakan untuk belanja seharian di Madinah dan simpanan untuk bayar hutang pelajaran biasiswa TM dan juga PTPTN yang saya ambil waktu tahun pertama di UiTM.

Prolog Turki

Sebelum Ramadan, ada sahabat yang mengajak saya untuk pergi ke Turki, mengikuti daurah di sana.

“Berapa belanja yang diperlukan ni Luqman?”

“Setakat ini, duit tiket kena guna duit sendiri. RM3K paling mahal.  Kemungkinan makanan akan ditaja. Tapi, sediakanlah paling banyak RM5K. Prepare duit lebih sikit.”

“Banyak juga tu akhi. Ana bukan tak ada duit, ada, cuma duit tu ada dah allocate untuk bayar PTPTN bulan-bulan dan hutang TM dulu.”

“Moga dipermudahkan akhi,” ujar Luqman, menutup perbualan kami.

Lama juga saya terfikir, macam mana nak cari duit untuk pergi ke Turki. Akhirnya, saya buat keputusan untuk jual kurma ajwah dan jubah dari Madinah untuk mencari duit tiket pergi ke daurah Turki. Alhamdulillah, rezeki daripada Allah Taala, dapat juga saya cari duit, untuk RM800.

Namun, duit masih belum cukup, untuk beli tiket sahaja! Semua peserta dari Malaysia pula sudah beli tiket, kecuali saya. Saya pergi ke pejabat Zakat Kedah untuk mohon bantuan. Segala surat pengesahan program, kertas kerja program, borang bantuan Zakat dan juga resume/CV saya bawa ke Lembaga Zakat Kedah, dengan harapan, adalah duit bantuan sedikit. Paling kurang dapat beli tiket jadilah.

Sampai di Kaunter, saya bagi segala dokumen berkaitan. Tak lama kemudian, pegawai tersebut memanggil saya.

“Maaf encik, kami tak dapat nak beri bantuan kepada encik, walaupun di bawah asnaf fi sabilillah.”

“Kenapa ya tuan? Hatta daurah ini daurah ilmu agama dan syariah?”

“Encik tak layak dapat bantuan sebab yang pertama, kursus ini tempohnya kurang dari setahun. Jadi, kita tak boleh bagi bantuan. Yang kedua, kita hanya bagi bantuan kepada mereka yang nak masuk Universiti sahaja.”

“Ada saluran lain untuk saya minta bantuan tuan?”

“Minta maaf, saya tak tahu encik.”

Saya pulang dengan hampa. Kepala saya ligat berfikir, macam mana nak cari bantuan. Kemudian, saya hantar emel kepada dua masjid besar yang berdekatan dengan rumah saya, iaitulah Masjid At-Taqwa, Bertam, Pulau Pinang dan Masjid Abdullah Fahim, Pulau Pinang.

Masjid At-Taqwa meminta saya hantar segala dokumen, namun usai saya emelkan segala dokumen dan surat, tiada jawapan balas dari mereka. Masjid Abdullah Fahim pula mengatakan bantuan hanya untuk anak qaryah sahaja dan sekali setahun sahaja, iaitu musim orang masuk IPT.

Sekali lagi saya kecewa.

Hari-hari terakhir Ramadan ketika itu, saya beriktikaf di masjid, qiamulail sehingga solat subuh. Usai subuh, saya duduk di tempat solat, bertilawah, berzikir dan berdoa, semoga Allah mudahkan dan tunjukkan jalan untuk ke Turki.

Niat saya hanya satu, untuk mengutip ilmu dan pengalaman. Cuti musim panas, 2 bulan adalah tempoh yang lama dan cukup untuk saya menjadi besi yang berkarat.

Akhirnya, setelah berfikir, saya pun membeli tiket dengan duit simpanan dan juga hasil keuntungan daripada jual kurma dan jubah.

“Allah Taala akan ganti duit ini insha-Allah, dengan rezeki yang lebih baik. Duit boleh dicari, tapi pengalaman dan ilmu, harta yang tidak ternilai.”

Dengan lafaz bismillah, saya membeli tiket ke Istanbul, Turki.

Sebelum pergi ke Turki, sekali lagi ayah saya berikan saya duit poket untuk belanja. Saya ucapkan terima kasih pada ayah. Saya tak soal ayah, dari mana ayah dapat duit.

Malam sewaktu ke airport bersama abang sulung saya, abang saya tanya,

“Dah ada duit belanja nak ke Turki?”

“Alhamdulillah ada dah bemat.”

“Ayah bagi?”

“Aah. Ayah bagi.”

“Ayah sebenarnya jual kereta viva dia tu pada kawan dia untuk bagi duit dekat bejih.”

Saya hanya diam saja. Saya tak tahu adakah memang ayah sudah lama untuk jual kereta viva yang dia gunakan untuk bisnes sewa kereta atau disebabkan untuk saya pergi ke Turki.

Tapi, apa pun sebabnya, itu tetap pengorbanan ayah untuk saya pergi menuntut ilmu. Diam, namun hati kecil saya berdoa agar Allah Taala berkati perjalanan menuntut ilmu saya, dan semoga Allah Taala ampuni mak ayah dan mengasihani mereka, serta kepada ahli keluarga yang lain.

Demikianlah harga yang perlu dibayar untut menuntut ilmu. Ilmu itu diperoleh dengan pengorbanan harta, tenaga dan masa. Jikalau kita mengimbas kembali perjalanan hidup para salaf dalam menuntut ilmu, sangat dahsyat. Ada dalam kalangan mereka sanggup merantau jauh, hanya untuk mendapatkan sepotong hadis. Ada dalam kalangan mereka yang sanggup berlapar, kerana tekunnya mencari dan murajaah ilmu.

Begitulah kasih ayah. Bahasa cinta dan sayang bukan pada lisan, tapi pada perbuatan. Mintalah apa saja, jarang ayah gagal tunaikan. Madinah dan Turki, selain kisah menuntut ilmu, ianya adalah bukti cinta dan kasih seorang ayah.

وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُلْ رَبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا

Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: “Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil”. (QS. Al-Isra’: 24)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top