Memahami Makna Tilawah

TILAWAH AL-QURAN: ADAKAH SEKADAR MEMBACA?

1. Menurut Al-Imam Al-Raghib Al-Asfahani, perkatan التلاوة berasal daripada perkataan تَلْوٌ yang asasnya bermaksud, “mengikuti sesuatu perkara.”

Manakala dari sudut penggunaan Al-Quran, perkataan تلا mempunyai empat penggunaan yang berbeza.

▪️ Pertama bermaksud ikutan pada suatu perkara dengan ikutan yang hakiki.

Firman Allah SWT,

‎وَالْقَمَرِ إِذَا تَلَاهَا

”Dan bulan apabila ia mengiringinya (matahari) ” [Ash-Shams : 2]

Maksud تلا di sini adalah bulan mengikuti (الاقتداء) matahari dari segi peredarannya dan juga aturannya.

▪️ Manakala penggunaan تلا yang kedua adalah membaca kitab kitab Allah yang diturunkan kepada para rasul dengan penuh khusyuk dan tadabbur.

Firman Allah SWT,

‎يتْلُونَ آيَاتِ اللَّهِ آنَاءَ اللَّيْلِ وَهُمْ يَسْجُدُونَ

”mereka membaca ayat-ayat Allah (Al-Quran) pada waktu malam (dengan penuh khusyuk dan tadabbur), semasa mereka sujud (mengerjakan sembahyang).” [Ali Imran:113]

▪️ Manakala yang ketiga perkataan تلا juga digunakan untuk bacaan tanpa mengamalkan isi kandungannya.

Firman Allah SWT,

‎أَتَأْمُرُونَ النَّاسَ بِالْبِرِّ وَتَنسَوْنَ أَنفُسَكُمْ وَأَنتُمْ تَتْلُونَ الْكِتَابَ ۚ أَفَلَا تَعْقِلُونَ

”’Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?” [Al Baqarah : 44]

Tilawah seperi ini dicela oleh Allah SWT.

▪️ Seterusnya penggunaannya yang keempat adalah bermaksud membaca dan beramal dengan isi kandungan kitab kitab Allah dan mengikuti ajarannya.

‎ يَتْلُونَهُ حَقَّ تِلَاوَتِهِ

”mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan”

‘Bacaan dengan sebenar benar bacaan’ ini adalah dengan mengamalkan ajarannya dan meninggalkan larangannya dalam kehidupan.

2. Maka perkataan التلاوة di dalam Al-Quran telah dikhususkan penggunaannya untuk kitab kitab Allah dalam tiga bentuk penggunaan.

▪️ Pertama bacaan seperti para pendeta pendeta Yahudi yang membaca kitab Allah (taurat) tetapi meninggalkan isi dan ajarannya.

▪️ Kedua adalah bacaan yang khusyuk dan penuh dengan tadabbur khususnya di waktu tengah malam.

▪️ Ketiga adalah bacaan yang diikuti dengan mengamalkan ajarannya dan meninggalkan larangan.

3. Apakah yang dapat difahami daripada ketiga tiga penggunaan ini?

Dapat difahami bahawa terdapat tiga jenis tilawah.

Tilawah pertama adalah yang dikeji oleh Allah SWT manakala tilawah yang dipuji adalah tilawah yang kedua dan ketiga.

4. Berbalik kepada makna asal perkataan تلا seperti yang didefiniskan oleh Al-Imam Al-Raghib Al-Asfahani iaitu ‘mengikut sesuatu perkara’ maka menjadi jelaslah kepada kita bahawa peringkat tertinggi tilawah yang dituntut daripada kita untuk dicapai adalah tilawah yang ketiga bukan semata mata yang kedua.

Daripada makna tilawah ini difahami bahawa tilawah yang dituntut daripada kita adalah tilawah yang membawa kepada mengikut Al-Quran dan mengamalkan ajarannya.

“Peringkat pertama dalam tilawah adalah dengan membaca dengan khusyuk dan tadabbur.

Peringkat kedua selepas memahami Al-Quran dengan tadabbur adalah mengamalkan segala ajaran Al-Quran dalam segenap sudut kehidupan.”

5. Kata Al-Imam Al-Raghib Al-Asfahani,

‎التلاوة أخص من القراءة. فكل تلاوة قراءة وليس كل قراءة تلاوة

”Tilawah itu lebih khusus daripada qiraah. Kesemua tilawah adalah qiraah dan bukan semua qiraah adalah tilawah.”

Kata Sheikh Dr Solah Al-Khalidi,

‎التلاوة الصحيحة هي التي تنتج العمل والمتابعة

”Tilawah yang sebenar benarnya adalah yang menghasilkan amal dan pengikutan kepada isi Al-Quran.”

6. Jadi bagaimanakah tilawah kita terhadap Al-Quran, adakah telah mencapai peringkat pertama iaitu tadabbur dan adakah mencapai juga peringkat kedua iaitu beramal dengannya?

Ataupun -nauzubillah- bacaan kita adalah seperti pendeta yahudi yang membaca kitab taurat, kemudian meninggalkan beramal dengan isinya?

Semoga Allah membantu kita untuk mencapai tahap beramal dengan segala ajaran Al-Quran dan meninggalkan larangannya di dalam kehidupan. Ameen.

Faedah daripada:-

Kuliah Tafsir Al-Imam Ibn Juzai, Tafsir ayat 44 Surah Al-Baqarah bersama syarahan oleh Sheikh Dr Solah Abdul Fattah Al-Khalidi. 26/7/2017.

 

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *