Memerah Masa, Harga Sebuah Al-Asr

Demi Masa!

Demikianlah Allah bersumpah dengan masa. Kita sama-sama maklum bahawa, apabila Allah bersumpah dengan sesuatu di dalam firman-Nya, subjek itu amat penting dan menuntut kita untuk bertadabbur dengan lebih teliti mengenainya.

Maksud asr ialah masa, dan kita juga memanggil Asar (Solat Asar) untuk menunjukkan waktu yang hampir senja. Di sini ada kaitan yang menarik. Manusia selalunya rugi bukan pada peringkat awal, tetapi peringkat akhir.

Sebagai contoh, kita bangun pagi, kepala kita bermacam perkara hendak kita lakukan. Kemudian kita terfikir, “Awal lagi, rilek dulu.” Masa terus berjalan dan kita terfikir lagi, “Layan game-lah dulu, kejap lagi buat kerja”. Lihat bagaimana pada awalnya kita tidak merasa bersalah. Kita memang sudah ada keputusan untuk buat itu dan ini, tetapi ia ditangguhkan dengan pelbagai urusan tidak penting. Maka, sampai sahaja waktu habis pejabat sekitar jam 5, kita mengeluh, kerja kita tidak siap pun. Di manakah waktu kita rasa menyesal, pagi atau tengahari? Tidak, kita menyesal di waktu Asar (asr) iaitu waktu petang. Sebab itu Allah menyumpah dengan waktu petang, titik waktu yang manusia akan menyesal padanya.

Di dalam bahasa Arab, ada beberapa perkataan lain yang maksudnya adalah berkaitan dengan masa. Ada Waqt (وقت), Zamān (زمان), Sā’ah (ساعة) dan Dahr (دهر). Tetapi Allah memilih kalimah ‘Asr (عصر) dengan hikmah yang besar.

Perkataan ‘Asr ini secara bahasanya, ia memberi maksud “memerah sehingga keluar susu” [Mu’jam Maqayis al-Lughah by Ibn Faris]. Bersandarkan kata akar yang sama, Allah SWT menyifatkan awan sebagai sesuatu yang mengandungi air, diperah hingga mengeluarkan hujan.

Dan Kami telah menurunkan dari awan (al-mu’sirāt), air (hujan) yang mencurah-curah [Al-Naba’ 78: 14]

Apabila Allah bersumpah dengan al-‘Asr yakni masa, ia bukan sebarang masa. Ia adalah masa yang digambarkan sebagai sesuatu yang berisi intipati yang berguna, penuh khasiat. Namun untuk memperolehinya, masa itu mesti diperah, seperti kelapa parut yang diperah untuk mengeluarkan santannya, atau kelapa sawit yang perlu diperah untuk mengeluarkan minyaknya. Demikian juga zaitun, sekadar buah yang enak dimakan, tetapi menjanjikan minyak penuh khasiat, andai kita patuh kepada proses utamanya iaitu ia mesti diperah, dengan betul, sepenuh usaha, hingga tidak tersisa.

 

Allah mengesahkan bahawa setiap manusia kerugian.

Rugi, seperti buah kelapa yang tua, kering, bergelimpangan di tanah dan kemudian menjadi tanah.

Seperti buah zaitun yang begitu banyak khasiatnya, tetapi terbiar gugur di tanah, kembali ke tanah, reput dan sebati hingga hilang dari kewujudannya.

Betapa sia-sianya manusia yang mati tanpa diperah potensinya.

Betapa rugi, dengan serugi-ruginya manusia yang lahir dengan fitrah penuh potensi, namun dek kecuaiannya tidak memanfaatkan peluang masa yang diberi, dia hanya singgah di kehidupan ini bagai melukut di tepi gantang, kemudian mati, bagai bangkai, kembali ke tanah, tanpa sumbangan, dan jasa.

Sesungguhnya setiap manusia yang memahami erti AL-‘ASR (masa), akan membina kehidupannya atas empat tiang ini, tanpa kompromi :

  1. Beriman, dan mempertahankan keimanannya dalam apa jua keadaan.
  2. Beramal soleh, berterusan, beramal, beramal, dan beramal.
  3. Berpesan-pesan pula kepada setiap insan yang melintasi dan dilintasi dalam kehidupan ini, dengan kebenaran.
  4. Berpesan-pesan dengan kesabaran, selagi hayat dikandung badan.

Duhai sahabat, sudahkah kalian memerah diri untuk mendapatkan hasilnya? Berusahalah agar pada hari matinya kita, yang dikebumikan itu benar-benar hampas yang sudah diperah manfaatnya habis-habisan. Dan dengan kasih sayang Allah, tubuh badan yang tidak bernyawa itu pun, masih punya manfaat andai kita menekuni kaedahnya.

Jangan sia-siakan masa.

Jangan sampai sudah mati, baru meminta dihidupkan semula.

“Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin” [Al-Sajdah 32: 12]

Saya menulis ini sebagai peringatan kepada diri dan sahabat-sahabat yang berada di Madinah sebagai penuntut ilmu. Setiap titisan peluh dan keringat, air mata yang mengalir, sakitnya jasad dan badan, ingatlah semua itu adalah harga untuk memenuhi kehendak wal-‘asr.

Demi memerah masa.

Demi mendapatkan hasil dan minyak sebuah masa…

 

Muhammad Abdul Aziz Madani
Madinah al-Munawwarah
20 Disember 2017

1 thought on “Memerah Masa, Harga Sebuah Al-Asr”

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top