Tahfiz, MRSM Ulul Albab & Darul Quran

Sewaktu tahun 2008, ketika cuti akhir tahun sebelum bermulanya sesi persekolahan 2009, saya meminta kepada ayah saya untuk hantar saya ke kem tahfiz. Waktu itu saya di Tingkatan 2 (2008), dan saya berjaya menghafaz 10 surah pilihan termasuk beberapa muka surat dari surah al-Baqarah.

Ketika mulanya sesi persekolahan 2009 di MRSM Kepala Batas, saya mula mengajak beberapa orang rakan untuk mula menghafaz Quran bersama (Amirul Neezam, Abdul Qawwyiy, Shahiir). Kami akan menghafaz dan mentasmi’ hafazan antara sesama kami. Ketika itu juga, kami mula memohon kepada Form 5 untuk menjadi imam solat, supaya kami boleh mengulang dan memperkuatkan lagi hafazan kami.

Saya ingat lagi, ketika itu saya sudah mula terdengar daripada pihak MARA bahawa akan mulanya program Ulul Albab di mana program Tahfiz akan mula dimasukkan. Sejak dari itu, saya berdoa mudah-mudahan MRSM Kepala Batas akan menjadi MRSM Ulul Albab.

Berpindah Ke MRSM Taiping

Pada tahun 2010, saya pindah ke MRSM Taiping kerana keputusan PMR dan Ujian UKKM yang cemerlang. Ketika tahun 2011, MRSM Kepala Batas dipilih untuk memulakan program Ulul Albab. Hati saya gembira dan seronok mendengar khabar itu, bahawa tempat belajar aku dahulu terpilih untuk melaksanakan program yang sebegini hebat. Di MRSM Taiping, saya masih lagi meneruskan hafazan walaupun kadang-kadang dalam satu bulan, hanya satu muka surat sahaja, bahkan boleh jadi setengah muka sahaja.

Saya selalu telefon Ustaz tahfiz saya, dan dia akan selalu bertanya :

“Hafazan Quran macam mana Aziz? Masih berjalankah?”

Ada juga rasa malu dan segan bila ustaz tanya sebegitu. Tapi ustaz akan selalu sahaja berikan kata-kata semangat untuk saya.

Persiapan Ke Darul Quran

Selepas tamatnya Ujian Percubaan SPM 2011, saya ada terbaca bahawa adanya satu program persijilan tahfiz untuk pelajar lepasan SPM di Darul Quran. Dinyatakan juga, seusai persijilan, pelajar boleh untuk masuk ke UIA untuk meyambung pengajian dalam apa-apa bidang. Saya terus mengajak beberapa orang rakan untuk turut sama memohon program ini.

Setiap hari, saya akan mula peruntukan masa dalam 30 minit untuk berlatih menghafaz 1 muka surat secara rawak dalam masa 30 minit. Saya berlatih menghafaz untuk persiapan temuduga Darul Quran. Tapi malangya, disebabkan saya tak mengambil bahasa Arab, saya tidak berjaya hatta untuk temuduga sekalipun.

Diploma Tahfiz KUIS 

Pada tahun 2014, saya berhasrat untuk sambung pelajaran diploma tahfiz di KUIS. Namun sekali lagi, permohonan saya dibatalkan dan saya dimasukkan dalam program Diploma Syariah. Pada hari temuduga bahasa Arab, temuduga tahfiz diadakan sekali. Saya memohon kepada penyelaras program untuk masuk ke dalam program tahfiz dan bersedia untuk ditebuk hafazan sekarang juga. Namun, mereka tetap berkeras untuk mengatakan saya tidak layak hanya kerana SPM saya tidak ada bahasa Arab.

Nasihat

Mengenang insiden dan tragedi kebakaran Maahad Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, semoga Allah Taala mengampunkan dan merahmati semua mangsa yang terkorban. Benar, mangsa mungkin terselamat jika bangunan yang dibina memenuhi piawaian keselamatan. Namun, kerana kekurangan dana daripada pihak ramai, piawaian tersebut tidak dapat dipenuhi.

Saya melihat semula kepada mereka yang belajar di MRSM Ulul Albab, kelengkapan semuanya cukup. Belajar pula bukan sekadar Al-Quran, bahkan juga ilmu-ilmu akademik. Bermacam program pula yang diadakan anak-anak ini. Tapi sayang, sebahagian mereka tidak menghargai akan kelebihan dan nikmat. Agak ramai keluaran MRSM Ulul Albab yang saya jumpa di luar sana (tidak semua ya), yang sudah lupakan hafazan, apabila minta mereka jadi imam tidak mahu walaupun mereka itulah yang paling layak jadi imam kerana hafazan mereka.

Kepada adik-adik di MRSM Ulul Albab seluruh Malaysia, setiap kali anda malas menghafaz dan belajar, ingatlah betapa banyak Maahad Tahfiz di luar sana yang serba kekurangan, dan berapa ramai daripada mereka yang mahu belajar di MRSM Ulul Albab tapi apakan daya kerana tidak ada rezki.

Kepada kita yang masih punya umur berbaki, marilah kita sama-sama membaca al-Quran, menghafaz dan mentadabburinya. Umat ini tidak akan kembali menang dan megah, jika kita meninggalkan Al-Quran dan hak-haknya. Semoga Allah Taala menjadikan kita orang-orang yang membaca dan mengamalkan Al-Quran. Ameen!

Penerimaan Sijil Ifadah Program Tahfiz di Masjidil Haram, Mekah.

 

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top