Taman Syurga Dalam Hati

“Di dunia ini terdapat satu syurga. Siapa yang tidak memasukinya, maka ia tidak akan memasuki syurga akhirat”

 

Demikianlah kata-kata al-Hafiz Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah sebagaimana yang dirakamkan oleh muridnya, al-Hafiz Ibnu al-Qayyim dalam al al-Wabil al-Shayyib min al Kala math-Thayyib.

Siapakah dia Ibnu Taimiyah? Beliau ialah Taqiyuddin Abu-al Abbas Ahmad bin Abdul Halim al-Harani. Lebih dikenali sebagai Ibnu Taimiyah. Dilahirkan pada tahun 661H. Sejak kecil, Ibnu Taimiyah telah terkenal dengan kecerdasannya. Beliau boleh menghafal buku dengan hanya sekali bacaan. Apabila mula menimba ilmu daripada para ulama’, kecerdasannya semakin menyerlah sehingga mengatasi pelajar-pelajar yang lain.

Berkata al-Hafiz Ibnu Hajar dalam al-Durar al-Kamimah fi A’yan al-Mi’ah ats- Tsaminah :

“Beliau sangat ajaib dalam kecepatan hafalan, kecerdasan, penguasaan luas dalam ilmu-ilmu naqli dan ‘aqli, serta perbincangan yang panjang lebar berdasarkan mazhab salaf dan khalaf.”

Sehingga hari ini, jasa Ibnu Taimiyah dikenali dan dikenang oleh serata dan seluruh dunia Islam. Hal ini dinukilkan sendiri oleh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi :

“Al-Imam Ibnu Taimiyah ialah daripada kalangan ulama umat yang aku sayangi, bahkan barangkali dialah yang paling jantung hatiku sayangi dalam kalangan mereka dan paling dekat kepada dengan pemikiranku.[1]

Persepktif Mukmin

Ibnu Taimiyah berbincang tentang  “syurga dunia”, iaitu sebuah taman kebahagiaan yang terdapat dalam hati. Menurut beliau, setiap daripada kita memiliki syurga itu. Tiada apa dan siapa yang mampu merebutnya daripada kita. Ini disebabkan kebahagiaan yang hakiki itu bukan terletak di tubuh, akan tetapi tertanam di dalam hati.

Kebahagiaan berkait rapat dengan persepsi kita tentang kehidupan. Kebahagiaan banyak dibentuk oleh cara kita melihat diri dan alam, serta hubungan kedua-duanya dengan Allah.

Siapa yang mengenal hakikat dirinya yang sangat lemah, dan menyakini Allah dengan pelbagai sifat-Nya yang Maha Sempurna, lalu berserah diri kepada aturan Ilahi, maka ia akan hidup dalam kebahagiaan.

Seburuk apa pun rupanya dan sekecil apa pun rumahnya, ia tidak berasa terseksa. Orang lain boleh memukul tubuhnya, meletaknya di penjara atau merampas hartanya. Namun, tiada siapa yang dapat merebut kebahagiaan dari hatinya.

Orang seperti ini sentiasa mencari ruang positif untuk selalu menemukan kebahagiaan walau dalam keadaan yang paling sempit sekalipun. Hidup ini terlihat indah meski tanpa benda-benda yang mewah dan kemudahan yang melimpah.

مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً ۖ وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُم بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.”
(Surah al-Nahl 16: 97)

Gaya Hidup

Jika kita merujuk kembali kepada kisah hidup Ibnu Taimiyah, ternyata konsep beliau tentang “syurga dunia” ini bukan sekadar teori. Malah, “syurga dunia” merupakan gaya hidup yang beliau praktikkan sendiri sepanjang umurnya.

Sebagai ulama pewaris nabi, Ibnu Taimiyah sangat tegas dalam kebenaran. Beliau tidak gentar menasihati Sultan Mahmud Ghazan apabila mendengar baginda berniat menyerang Damsyik. Dengan izin Allah, Sultan menuruti ucapannya dan membatalkan niat tersebut. Sejak dari itu, nama beliau menjadi masyhur. Kenyataan ini tentu sahaja mengundang hasad dengki. Musuh-musuhnya selalu mencari jalan untuk merosakkan tanamannya.

Keadaan semakin parah apabila politik dan penguasa dilibatkan. Fitnah, celaan dan ancaman bertubi-tubi menimpa Ibnu Taimiyah. Bahkan beliau pernah dikeluarkan dari Syam lalu diasingkan ke Mesir.

Namun, semua itu tidak mengeruhkan hati Ibnu Taimiyah. Beliau mampu menemukan kebahagiaan di dalam kesempitan. Beliau berkata, “apa yang boleh dilakukan oleh musuh-musuhku? Syurgaku berada di hatiku. Ke mana aku pergi, syurga selalu bersama denganku.”

Ibnu al-Qayyim berkata, “AKu tidak pernah melihat orang yang lebih nikmat hidupnya daripada beliau (Ibnu Taimiyah). Padahal beliau sangat miskin dan jauh daripada kemewahan. Meski hidup dalam penjara, dan selalu dalam keadaan ancaman dan seksaan, namun beliau ialah manusia yang paling nikmat hidupnya, paling luas dadanya, paling kuat hatinya, dan paling bahagia. Tanda-tanda kegembiraan jelas terlihat di wajahnya.”

Jangan Salahkan Keadaan

Orang-orang yang memiliki syurga dunia seperti Ibnu Taimiyah tidak pernah menyalahkan keadaan. Mereka tidak melihat keadaan dan persekitiran sebagai alasan untuk tidak terus berjuang dan menulis. Keadaan hidup yang terhad bukan penghalang kejayaan, malah dilihat sebagai satu kesempatan untuk membuktikan keteguhan iman.

Sikap menyalahkan keadaan adalah petanda kelememahan diri. Ada yang menyalahkan keadaan sosial dan politik negerinya. Ada juga yang meletakkan kesalahan kepada ibu bapa dan keluarganya. Ia menuduh mereka sebagai punca kegagalan dan kesengsaraan yang dialami.

Padahal, tidak ada yang mesti disalahkan melainkan dirinya sendiri. Ibnu Taimiyah telah membuktikan bahawa kebahagiaan tetap boleh diraih meski dalam keadaan seburuk apa pun. Kejayaan tetap boleh dicapai jika kita benar-benar berazam untuk mencapainya.

Malah, suka menyalahkan keadaan ini hanyalah sikap orang yang tidak beriman. Siapa yang tidak mengenal Allah, dan hidup jauh daripada aturan Islam, ia akan hidup dalam kesengsaraan. Ia akan berasa sempit meski dalam keluasaan duniawi. Kesempitan ini lalu melahirkan pelbagai penyakit seperti kemurungan, skizofrenia, bahkan kegilaan dan bunuh diri.

Firman Allah :

وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَىٰ 

“Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”. (Taha : 124)

Imam al-Qurtubi menukilkan kata-kata sebahagian para ulama, “Tidaklah seseorang berpaling daripada peringatan Tuhannya melainkan waktunya akan menjadi gelap, rezekinya tidak teratur, dan kehidupannya dipenuhi kesempitan.”

Menghidupkan Syurga Hati

Bagaimanakah Ibnu Taimiyah dan orang semisalnya boleh menghidupkan syurga dunia di dalam hati?

Sebenarnya, syurga dalam hati ini boleh dihidupkan dengan pelbagai cara. Salah satu caranya dengan menyelaraskan kehendak kita dengan kehendak Allah. Berserahlah kepada ketentuan Allah, kebahagiaan dan kedamaian pasti akan mula berputik di hati, subur menjadi syurga dunia.

Punca kesusahan hati ialah percanggahan kehendak hati kita d engan kehendak Allah. Kita mengkehendaki sesuatu, Allah mengkehendaki sesuatu yang lain. Apa terjadi tentu sahaja apa yang Allah kehendaki, bukan apa yang kita mahu. Hal ini demikian kerana Allah Tuhan yang berkuasa, kita hanya hamba yang hina.

Kehendak Allah tidak dapat dicegah dan diubah. Namun, kita boleh mengubah kehendak kita agar selaras dengan kehendak Allah. Percayalah, apa yang Allah tentukan lebih baik buat kita daripada apa yang kita inginkan. Sebab Allah lebih mengetahui maslahat kita daripada kita sendiri.

Berkata Imam Tabiin di Basrah, Ayyub bin Abi Tamimah al Sakhtiyani rahimahullah:

إِذَ لم يَكُن ما تُريد, فأَرِد ما يكون

Ertinya : “Jika apa yang engkau kehendaki tidak terjadi, maka kehendakilah apa yang terjadi[2].”

Setelah itu, kita dapat melangkah kepada tahap seterusnya, iaitu “Do what you like, and like what you do.” Lakukanlah apa yang kau suka, dan sukailah apa yang kau lakukan.

Wallahua’lam.

 

Muhammad Abdul Aziz Bin Mat Yusof
Madinah Munawwarah
24 September 2018 | 14 Muharram 1440H

__________________________________________________________________

[1] Al-Qaradawi, Kaif Nata’amul ma’a al-Sunnah, m.s 170, Mesir : Dar al-Wafa

[2] Riwayat al-Baihaqi dalam kitab Syu’abul Iman

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top